Penentangan terhadap dakwah Islamiah dilakukan dengan
pelbagai cara. Selain dicemuh, Nabi Muhammad s.a.w. turut diganggu semasa
beribadat. Contohnya, semasa baginda bersembahyang, benda- benda yang kotor
telah diletakkan di tengkuk baginda. Malahan ada orang yang ingin membunuh
baginda.
Mengapakah orang Arab Quraisy Makkah menentang ajaran Islam
sedangkan kewibawaan Nabi Muhammad s.a.w. telah diakui? Penentangan orang Arab
Quraisy Makkah terhadap ajaran Islam adalah disebabkan oleh beberapa faktor.
Antaranya termaksuklah perbezaan dari segi kepercayaan dan amalan antara orang
Arab Quraisy dengan Islam. Ajaran Islam berasaskan kepercayaan kepada Allah
Yang Maha Esa sedangkan orang Arab Quraisy mempercayai dan mengamalkan tradisi
turun- temurun mereka, iaitu menyembah patung berhala dan mempercayai animisme.
Islam juga ditentang kerana ajarannya yang menyarankan
prinsip persamaan taraf sesama manusia. Prinsip ini amat bertentangan dengan
sistem sosial masyarakat Arab Jahiliah yang mewujudkan perbezaan darjat antara
golongan atasan dengan bawahan. Selain itu, mereka juge menolak konsep
persaudaraan Islam yang sangat bertentangan dengan konsep assabiah yang menjadi
pegangan mereka. Begitu juga dengan amalan dan akhlak yang keji seperti mencuri
dan menindas yang menjadi kebiasaan mereka tetapi dilarang sama sekali oleh
Islam.
Dari segi politik, penentangan ini berlaku disebabkan oleh
orang Arab Quraisy mempunyai tanggapan yang salah terhadap tugas nabi. Mereka
menganggap jika mereka menerima agama Islam, mereka akan terpaksa tunduk kepada
kepimpinan Nabi Muhmammad s.a.w.. Sejak dahulu masyarakat Makkah sentiasa
bersaing untuk menjadi ketua atau pemerintah Makkah. Penyebaran Islam oleh Nabi
Muhammad s.a.w. sedikit sebanyak akan menggugat pengaruh dan kedudukan keluarga
mereka di Makkah. Ini adalah kerana Nabi Muhammad s.a.w. berasal daripada
keturunan yang menguasai kepimpinan kota Makkah.
Penyebaran Islam juga menggugat ekonomi orang Arab Quraisy
kerana hal ini menjejaskan perusahaan mengukir patung berhala yang merupakan
sebahagian daripada aktiviti ekonomi mereka. Ini disebabkan Islam mewajibkan
penganutnya menyembah Allah Yang Maha Esa dan melarang penyembahan berhala.
Dengan penyebaran Islam, secara tidak langsung perniagaan patung berhala akan
terjejas.
Penentangan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam
dilakukan secara berterusan dan menerusi pelbagai cara. Penyair Arab Quraisy
sering mengejek ajaran Islam melalui puisi mereka. Walaupun pelbagai tohmahan
dan tuduhan telah dikenakan kepada Nabi Muhammad s.a.w., namun, baginda
menghadapinya dengan tabah dan sabar. Inilah keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w.
sebagai pemimpin yang berwibawa dan yang tidak pernah kecewa dengan dugaan yang
ditempuhinya. Kesabaran merupakan kunci kejayaan kepada orang yang berjuang
dalam apa bidang sekalipun.
Setelah gagal menggunakan kekerasan, orang Arab Quraisy juga
telah memujuk Nabi Muhammad s.a.w. agar meninggalkan dakwah Islamiah. Pujukan
yang dibuat termasuklah usaha menawarkan kedudukan, wanita cantik dan harta.
Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad s.a.w. dengan tegas menolah cubaan untuk
merasuah baginda.
*Bentuk pemulauan kepada keluarga Nabi (Bani Hashim dan
Bani al- Muttalib)
· Orang Arab Quraisy tidak menjalankan aktiviti
jual beli dengan keluarga Nabi Muhammad s.a.w..
· Mereka tidak memberikan sebarang bentuk
pertolongan kepada keluarga Nabi Muhammad s.a.w..
· Mereka tidak berkahwin dengan anggota keluarga
Nabi Muhammad s.a.w..
*Aisyah
· Nama sebenarnya ialah Aisyah binti Abu Bakar dan
merupakan isteri Nabi Muhammad s.a.w. yang paling muda.
· Aisyah ialah wanita yang bijak, kuat ingatan,
dan mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang Islam.
· Aisyah menjadi sumber rujukan utama bagi orang
Islam tentang hukum- hukum Islam.
|